Tuesday, May 23, 2017

Bila nak berhenti kerja dan buat bisnes fulltime?

Soalan ini sering bermain di fikiran saya. Saya masih belum menemui jawapannya.

Tapi saya sudah membuat keputusan untuk tidak berhenti kerja dalam masa terdekat.

Alasannya ialah saya tidak memiliki simpanan mencukupi iaitu 6 bulan jumlah perbelanjaan.

Sebentar tadi saya bersembang dengan seorang sifu, Tuan Zawawi dari Unirazak.

Saya berkata padanya: Saya masih belum cukup jiwa usahawan. Saya tak berani terjun bisnes sepenuh masa. Sebabnya, saya masih suka dengan kerja saya sekarang.

Apa jawab beliau?

Saya coretkan di sini isi penting perkongsian beliau berkenaan tajuk ini ketika menjawab soalan saya:

1. Selagi bisnes tidak mengganggu kerja asasi (kerja makan gaji) kita, teruskan berbisnes.

2. Bangunkan bisnes perlahan-lahan. Slow and steady. Be different from others. Fokus pada pelanggan. Beri perkhidmatan terbaik.

3. Bangunkan bisnes sampai bisnes boleh membayar gaji kita dua kali ganda daripada gaji kita sekarang.

4. Tuan Zawawi berkata, walaupun beliau masih bekerja sebagai pensyarah, beliau sedang berusaha memajukan bisnes sehingga boleh menampung keperluan bulanan sekarang.

Contohnya, kalau perbelanjaan sekarang RM10,000 sebulan, maka bisnes beliau perlu membayar RM10,000 setiap bulan atau lebih apabila beliau telah bersara nanti.

Jika bisnes hanya beri pulangan RM5,000 sebulan, maka beliau akan pening kepala untuk mencari lagi RM5,000.

Itu sahaja perkongsian saya setakat ini. Kongsikan untuk manfaat bersama.

---
Jika anda berminat menyewa kereta Viva, Myvi dan Alza, hubungi Firdaus di talian 011-11444212

Atau

Isi borang tempahan atas talian di pautan:
www.carrentalampang.com/bookingform

Sunday, May 21, 2017

Kira-kira untung rugi bisnes kereta sewa

Dalam setiap perniagaan, mesti ada untung dan rugi.

Bagaimanakah pula dengan bisnes kereta sewa? Berapa banyak untung, berapa banyak rugi? Macam mana nak kira?

Berikut saya kongsikan kira-kira untung rugi:

1. Jualan (nama lainnya sales, turn over, revenue. Ertinya duit masuk)
1 kereta RM1,500 (kita ambil contoh Myvi kalau disewa 10-13 hari sebulan)

2. Kos jualan (duit keluar)
Bayar loan bank Myvi RM500 sebulan

3. Untung kasar (jualan tolak kos jualan)
RM1,000 sebulan.
Ini hanya untung kasar. Bukan 100 peratus kita dapat. Ada banyak lagi kos lain kena tolak.

4. Kos-kos lain.
- gaji (kalau jika kerja dengan orang, mesti kita nak gaji kan. Begitu juga kalau kerja sendiri)
- marketing (macam mana nak dapat sales kalau tak buat marketing. Marketing ada online, ada offline. Marketing di FB, boleh jadi tanpa kos, boleh jadi ada kos apabila kita buat FB Ads)
- bil telefon (kita deal dengan pelanggan, dia call kita, kita call dia balik, balas mesej dia, semua ni ada kos)
- basuh kereta (sebelum pas kereta kepada pelanggan, kereta mesti bersih dan wangi.)
- maintenance kereta (tukar minyak hitam dan lain-lain sebulan sekali jika dah sampai masanya)
- dan banyak lagi kos lain.

Senaraikan dengan lengkap dan tolaklah daripada untung kasar RM1,000 tadi.

Berapakah untung bersih untuk syarikat kita?

Apabila dah dapat jumlah untung bersih, 100 peratus di tempat selamat. Atau gunakan sebahagian untuk keperluan lain bagi memastikan perniagaan berjalan dengan baik.

Simpanan bulanan kita tu simpan betul-betul untuk kembangkan perniagaan.

5. Kalau sales kita tak cukup RM1,500 sebulan, tolak dengan kos jualan dan kos lain, boleh jadi kita tak dapat untung bersih. Dalam keadaan ini, terimalah kenyataan bahawa kita mengalami kerugian.

Bagaimanakah nak mengelak kerugian lebih besar?

Cut cost lah. Potong kos-kos yang boleh dipotong. Potong gaji kita ke, potong kos basuh kereta ke, gantikan dengan basuh sendiri, jadilah zero kos, dan lain-lain.

Kalau dah tiap bulan tak balik modal dan asyik rugi, ataupun untung bersih tak seberapa, maka kita kena kaji balik di manakah silap kita.

Cara paling mudah untuk elakkan kerugian ialah tingkatkan sales. Macam mana? Kita sambung dalam artikel lain.

Sekian saja perkongsian saya kali ini.
Jumpa lagi akan datang.
Kongsikan artikel ini jika bermanfaat.

---
Jika anda ingin menyewa kereta, hubungi Firdaus di talian 011-11444212

Atau

Isi borang tempahan online di pautan berikut:
www.carrentalampang.com/bookingform

Sunday, May 14, 2017

Tips Memilih Syarikat Kereta Sewa

Bismillah.

Macam biasa, sebelum kita berbelanja terutama pada perkara berkos tinggi, sudah pasti kita akan membuat penyelidikan ringkas.

Ya lah, kalau nak beli baju pun, kena ukur di badan sendiri, sesuai atau tidak. Kalau tak, hmm, membazir lah jawabnya. Bazir masa kena datang semula ke kedai untuk menukar saiz lain, atau meminta wang dikembalikan.

Bagaimanakah pula dengan perkhidmatan sewa kereta? Apakah aspek yang perlu diselidik dan dititikberatkan?

Berikut saya senaraikan beberapa tip bagi memudahkan anda membuat keputusan syarikat mana satu yang akan dipilih.

1. Lokasi
Lagi dekat dengan kediaman anda, lagi baik. Mudah anda ke lokasi untuk mengambil kereta. Mudah juga bagi pihak syarikat menghantar kenderaan ke rumah anda. Kalau jauh, macam mana? Bazir masa dan tambang Uber.

2. Kereta baru atau kereta lama
Sudah semestinya kita mahukan kereta terbaik bagi mengelakkan masalah ketika sewaan berlangsung.
Kereta lama (tak berapa baru) jika diservis dengan baik mengikut jadual, risiko rosak ketika sewaan akan berkurangan.
Kereta baru pula, faham-fahamlah, mesti puas hati.
Kalau kereta lama, kita boleh cuba minta harga lebih murah.

3. Syarat dan peraturan
Baca dan teliti syarat-syarat yang ditetapkan. Ia penting bagi mengelakkan tiada siapa pun yang dinafikan hak sama ada penyewa atau syarikat pengusaha kereta sewa.
Lagi terperinci lagi bagus.

4. Harga
Ini bergantung kepada bajet anda sendiri. Jika bajet ciput, maka sesuailah dengan jenis kereta yang ada. Kalau nak dapat kereta mewah, kereta baru, kereta import, mungkin tak dapatlah dengan harga yang kita mahu.
Jika kita menyewa untuk tempoh lama, melebihi dua atau tiga hari, cubalah berunding bagi mendapatkan harga istimewa.
Mesti dapat punya.
Hal ini kerana kebanyakan pengusaha kereta sewa akan mendapat lebih keuntungan jika kereta disewa lebih banyak hari.
Walaupun harga jatuh sedikit, tapi ia lebih baik daripada membiarkan kereta tersadai di tempat parking tanpa disewa.

5. Kecemasan
Jika berlaku kecemasan, apakah jaminan yang boleh disediakan oleh pihak syarikat? Seeloknya, perlu ada bantuan 24 jam sehari di seluruh Malaysia. Nak hebat lagi, cari yang ada tukaran kenderaan jika kereta yang disewa menghadapi masalah.
Tak semua syarikat ada kemudahan ini, yang ada pastinya syarikat-syarikat besar.

6. Perundangan
Seeloknya kita memilih syarikat berlesen dan permit.
Lesen yang dimaksudkan ialah lesen kereta sewa daripada Kementerian Pelancongan.
Permit pula ialah permit kenderaan daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
Ia penting jika berlaku kes-kes yang tidak diingini melibatkan pihak polis dan pihak insuran.
Dan sudah tentu tak semua syarikat memiliki lesen.
Banyak syarikat kereta sewa berdaftar dengan SSM tapi tak semua memiliki lesen.
Ada beza tu ya.

Setakat ini dahulu perkongsian saya.
Jumpa lagi di lain waktu.
Silakan share artikel ini untuk manfaat semua.

---
Jika anda berminat menyewa kereta, hubungi Firdaus di talian 011-11444212 atau terus sahaja mengisi borang tempahan di pautan berikut:
www.carrentalampang.com/bookingform

Monday, May 8, 2017

Persediaan Berniaga Sepenuh Masa

SATU hari, fikiran saya buntu. Asyik memikirkan soal bisnes fulltime. Lama saya fikirkan.

Nak berhenti kerja atau tidak? Bila nak bisnes sepenuh masa?

Kalau berhenti, saya boleh fokus berniaga. Bebas.

Tapi adakah saya yakin dengan perniagaan sekarang? Bolehkah ia menggantikan sumber pendapatan saya sekarang secara makan gaji?

Saya buntu dan tak tahu nak buat apa.

Sehinggalah pada satu hari, saya berpeluang menghadiri satu kursus berkenaan akaun syarikat. Saya memanfaatkan peluang yang ada untuk bertanya kepada penceramah mengenai perkara yang membingungkan saya iaitu bisnes fulltime.

Ada beberapa perkara penting yang beliau ajar saya sebagai panduan membuat keputusan berniaga sepenuh masa:

1. Kira berapa perbelanjaan bulanan saya. Kira adakah pendapatan bisnes mampu menampung perbelanjaan bulanan itu.
Sekiranya bisnes 'teruk', adakah perbelanjaan bulanan saya masih terjamin?

2. Kumpul dana kecemasan sebanyak 6-12 bulan jumlah perbelanjaan bulanan.
Kira sendiri adakah kira sudah memiliki simpanan sebanyak itu.
Contohnya, jika perbelanjaan bulanan kita RM3,000, maka kita memerlukan RM18,000 untuk menampung perbelanjaan selama 6 bulan, dan RM36,000 untuk 12 bulan.

Inilah persediaan kita bagi menghadapi risiko yang boleh dijangka lebih awal. Calculated risk.

Usahawan perlu mengambil risiko tapi risiko yang diambil adalah risiko yang sudah pun dikira.

3. Cash flow forecast bisnes untuk tahun.
Kira-kira aliran tunai untuk setahun ini perlu dilakukan.
Ia sebagai panduan adakah bisnes kita mampu mendatangkan pendapatan kepada kita dengan cukup.

Jika kita mahukan gaji RM3,000 sebulan bagi menampung perbelanjaan bulanan, adakah bisnes kita mampu memberikan kita gaji sebanyak itu setiap bulan?

Berapakah sales yang diperlukan untuk syarikat membayar gaji kita dan kos-kos lain selain simpanan syarikat untuk lebih berkembang akan datang?

Jika sales tak sampai sasaran, siapa akan bayar gaji kita? Di sini pentingnya simpanan 12 bulan yang saya sebut di atas.

Setakat ini dahulu perkongsian saya berkenaan tajuk ini.

Sekian, terima kasih.

Wednesday, March 29, 2017

Matlamat masa panjang

Apakah matlamat masa panjang anda?

Apa anda akan jadi 50 tahun lagi jika umur anda panjang?

Apakah yang ingin anda capai esok jika umur anda panjang?

Ajal maut di tangan Allah. Kita tak tahu bila kita mati.

Tapi Allah beri kita peluang untuk mencipta bagaimana rupa kematian kita.

Apakah kaitan antara matlamat masa panjang dan kematian?

Orang Barat tak beriman dengan Hari Akhirat sedangkan itulah tempat yang semua manusia akan pergi.

Kehidupan orang Barat hanya di dunia dan mereka bersungguh-sungguh menggapainya.

Orang Islam pula beriman adanya Hari Akhirat. Orang beriman juga tahu dunia adalah tempat bercucuk tanam sebagai bekal menuju Akhirat.

Kini, kesedaran umat Islam untuk berjaya di dunia makin tinggi. Ramai kita lihat umat Islam yang berjaya.

Mereka memiliki ciri-ciri orang berjaya. Mereka bukan saja pandai bercakap, mereka juga pandai buat.

Menetapkan matlamat masa panjang adalah salah satu ciri orang berjaya.

Apabila kita tahu dan jelas dengan matlamat masa panjang, kita juga tahu apa yang perlu dilakukan dalam jangka masa pendek.

Setakat ini sahaja perkongsian minda saya, moga bermanfaat buat pembaca.

---
Jika anda mahu menyewa kereta, hubungi saya di talian 011-11444212 atau terus mengisi borang tempahan di pautan berikut:
www.carrentalampang.com/bookingform

Saturday, March 25, 2017

Akaun syarikat dan akaun peribadi (siri 2)

Dalam artikel sebelum ini, saya kongsikan kepentingan pengasingan antara akaun syarikat dan akaun peribadi.

Berikut saya kongsikan beberapa tip bagaimana pengasingan dapat dilakukan:

1. Membuat rekod berasingan.
Setiap aliran keluar masuk wang perlu direkodkan. Rekod boleh dilakukan secara online (dalam telefon pintar) atau offline (terus tulis dalam buku nota).

Setiap duit yang keluar seperti pembelian barang perlu direkodkan dengan terperinci beserta dengan resit.

Resit pula perlu dikumpulkan dalam fail khas mengikut kriteria pembelian.

2. Wang masuk juga perlu direkodkan dengan baik. Mesti ada hitam putih sama ada resit bayaran pelanggan yang menjadi bukti wang itu masuk.

3. Selain rekod, wang itu perlu segera disimpan di tempat khas seperti peti besi syarikat atau dikumpulkan kutipan jualan sejak pagi hingga malam lalu dimasukkan ke dalam akaun syarikat melalui Cash Deposit Machine (CDM).

Antara kesilapan besar saya di awal perniagaan ialah saya tidak mengasingkan wang syarikat. Saya hanya berpada dengan rekod keluar masuk, malah saya rasa bangga di atas rekod itu.

Setiap wang masuk atau keluar saya catat.

Malangnya, wang itu secara fizikalnya masih bercampur-campur dalam dompet saya dan tidak diasingkan dan tidak segera dimasukkan ke dalam akaun semasa syarikat.

Setakat ini dahulu perkongsian saya. Semoga bermanfaat buat pembaca semua.

Friday, March 24, 2017

Akaun syarikat dan akaun peribadi

ASINGKAN AKAUN PERNIAGAAN DAN AKAUN PERIBADI

Antara ilmu pengurusan kewangan yang perlu dikuasai ialah pengasingan akaun perniagaan dan akaun peribadi.

Ia bertujuan menyelamatkan perniagaan daripada bungkus awal akibat tiada pengurusan yang baik.

Apabila duit syarikat bercampur dengan duit sendiri, mudah saja ia dibelanjakan untuk tujuan-tujuan peribadi.

Natijahnya, wang syarikat hilang tanpa disedari lalu perniagaan tidak mampu berkembang luas selepas satu tempoh.

Malah, perniagaan boleh gulung tikar apabila tiada simpanan dan aliran wang tidak positif.

Ada pihak menyebut perkara ini sebagai merompak wang syarikat untuk kegunaan peribadi.

Dalam artikel akan datang, saya akan kongsikan tip-tip pengurusan kedua-dua akaun ini.

- - -
Untuk sewa kereta, hubungi saya di talian 011-11444212

Atau

Isi borang tempahan di sini:
www.carrentalampang.com/bookingform

Saturday, March 18, 2017

Bisnes itu bakat atau boleh dipelajari?

Dialog yang biasa kita dengar di kalangan orang awam berkaitan bisnes antaranya ialah "awak tak boleh berbisnes sebab awak bukan orang bisnes".

Nasihat begini biasa diberikan orang orang yang tidak berbisnes kepada rakan atau ahli keluarganya yang berhajat memulakan bisnes.

Dan ia juga pernah dikatakan kepada saya sendiri.

Hujah mengapa dialog ini diungkapkan ialah bisnes adalah satu dunia lain, susah, sukar, penuh risiko dan cabaran.

Hanya individu tertentu yang ada ciri-ciri tertentu sahaja yang boleh berniaga.

Saya terfikir, adakah bisnes itu satu bakat yang dikurniakan Allah kepada seseorang, tidak pada orang lain, atau ia adalah satu kemahiran atau ilmu yang boleh dipelajari?

Dalam bahasa lain, ia disebut sama ada mauhabah atau muktasabah?

Mauhabah bererti satu perkara yang dianugerahkan oleh Allah manakala muktasabah pula satu perkara yang boleh diusahakan, sama ada dengan ilmu, pendedahan, latihan dan sebagainya.

Hasil perkongsian dengan seorang kenalan yang baru beberapa tahun berbisnes, katanya sebelum berniaga, dia memang tidak tahu langsung berniaga.

Apabila keadaan mendesak, dia belajar mencari ilmu, menghadiri bengkel dan seminar selama setahun. Semuanya kena belajar.

Banyak lagi diceritakan beliau dan kesimpulan yang saya dapat ialah bisnes ini adalah satu perkara muktasabah. Boleh diusahakan.

Ertinya sesiapa pun boleh berbisnes tetapi bagaimana tahap kejayaan bisnes itu bergantung kepada peniaga itu sendiri, maju hebat atau sekadar kecil-kecilan.

Tuesday, March 14, 2017

Ke arah bisnes full time

Memang tak pernah saya membayangkan bahawa saya akan memasang niat untuk berhenti kerja dan berniaga sepenuh masa.

Ya, sekarang saya sudah memiliki perancangan untuk berhenti kerja dan menjalankan bisnes kereta sewa sepenuh masa.

Tapi, niat ini boleh saja terbatal bila-bila masa sekiranya Allah tidak mengizinkan dan fikiran saya beralih arah.

Apa yang pasti ialah saya sedang memasang niat untuk berniaga sepenuh masa.

Apakah yang mendorong kepada keputusan ini? Bukankah pada awal mula berniaga hanya berniat menjalankannya secara sambilan?

Sukar untuk saya menulis jawapannya di sini. Biarlah ia kekal dalam pengetahuan saya seorang buat masa ini.

Hanya satu perkara yang saya ingin kongsikan ialah kejayaan atau kegagalan adalah bergantung kepada usaha kita sendiri.

Kitalah yang menetapkan sesuatu matlamat, dan kitalah yang akan memastikan ia dicapai atau tidak.

Setiap natijah memerlukan asbab. Natijah yang hebat pula memerlukan asbab yang hebat dan bukan biasa-biasa.

Sekian sahaja perkongsian untuk kali ini. Jumpa lagi.

---
Untuk tempahan kereta sewa, sila hubungi Firdaus di talian 011-11444212

Atau terus mengisi borang tempahan di pautan berikut:
www.carrentalampang.com/bookingform

Wednesday, February 1, 2017

Cuba anda bayangkan

Bayangkan apa anda akan jadi 5 tahun lagi.

Bayangkan bagaimanakah rupa bentuk perniagaan anda akan datang.

Bayangkan apakah yang anda ingin capai dalam tempoh setahun, dua tahun, lima tahun, sepuluh tahun dan tiga puluh tahun akan datang.

Bayangkan kejayaan-kejayaan yang ingin anda capai dalam hidup.

Bayangkan dan terus membayangkan.

Ungkapkan apa yang anda bayangkan itu dalam bentuk tulisan dan percakapan.

Tuliskannya dalam kertas. Tampal kertas itu di dinding bilik tidur anda. Kongsikan apa yang anda tulis dengan teman-teman rapat.

Lihat ia setiap hari.

Anda akan merasakan perubahan pada diri anda.

Apabila jelas matlamat yang ingin dicapai, maka fikiran anda akan tertumpu kepada matlamat itu dan akan sentiasa ligat memikirkan cara untuk mencapainya.

Sunday, January 29, 2017

Pelanggan perlu ditapis

"Lebih baik kita rugi sedikit daripada rugi banyak."

Ini pesan coach saya. Katanya, daripada ambil pelanggan yang tidak berkualiti, lebih baik kereta kita duduk diam di tempat parkir tidak disewa oleh sesiapa.

Pelanggan yang tidak berkualiti, atau pelanggan murahan, tidak akan menghargai perkhidmatan yang kita berikan.

Selagi ada peluang untuk menipu dan mengambil kesempatan, maka dia akan melakukannya.

Dia tak ambil peduli perasaan kita. Yang dia tahu, hanya kepuasan diri.

Hasil sikap begitu, maka kita dapat lihat apabila kereta dipulangkan, akan berlaku beberapa perkara yang menyakitkan hati kita.

Antaranya:

1. Kereta dipulangkan lewat daripada masa ditetapkan. Ketika ini, wang deposit memainkan peranan. Kita ambil sahaja sebagai denda kelewatan.

2. Terdapat bau dan habuk rokok dalam kereta. Ini juga kita denda dengan duit deposit.

3. Minyak kereta habis sampai simbol minyak menyala di papan dashboard. Ini pun kita boleh denda.

4. Kereta ada kesan calar sini dan sana.

5. Ada kotoran dalam kereta.

6. Dan sebagainya yang menyakitkan hati kita.

Antara penyelesaian yang perlu dibuat ialah:

1. Mengambil sejumlah duit deposit.

2. Menetapkan syarat dan peraturan sewaan. Ambil masa sedikit untuk menjelaskan perkara ini ketika hendak pas kunci kereta.

Peraturan inilah yang perlu dipersetujui dan jika dilanggar kita boleh kenakan denda.

3. Menapis pelanggan anda. Pilihlah yang betul-betul berkualiti. Jangan main ambil saja, sebab nak kejar sasaran kutipan jualan. Kelak kita yang akan sakit hati dan terpaksa melakukan itu dan ini.

Sekian sahaja perkongsian saya kali ini.

Semoga bermanfaat.

Friday, January 27, 2017

Jangan menipu

Ada seorang pelanggan berkongsi pengalaman bekerja di bengkel.

Sekarang dia bekerja di tempat lain.

Dia tahu mana nak dapat harga murah untuk barang-barang ganti kereta seperti minyak hitam.

Dia cerita apa yang saya mahu dengar.

Barangkali saya boleh jimatkan kos servis kereta jika minta dia uruskan. Berbanding dengan bengkel biasa yang mana harganya lebih mahal mengikut harga pasaran.

Tapi dia cerita juga dia pernah mengkhianati majikannya (tauke kedai) dengan membuat jualan tepi tanpa pengetahuan majikan.

Ada dua alasan; pertama kerana majikannya kedekut dan tidak pernah mengambil berat masalah dirinya dan pekerja lain.

Kedua kerana dia mahu membuat 'duit tepi'. Dan dia tahu cara-cara elak dikesan majikan hasil tunjuk ajar pekerja lain yang lebih senior.

Saya tahu dia ada kepakaran untuk membaiki kereta dan tahu cara mencari barang gantian dengan harga murah.

Dan dia tawarkan kepada saya untuk menghubunginya jika mahu servis kereta dalam kos yang minimum.

Masalahnya dia pernah menipu majikannya sebelum ini.

Jika pembaca sekalian berada di tempat saya, adakah anda akan menggunakan perkhidmatannya?

Saya sendiri sudah ada jawapan.

Sekian, terima kasih.

Nota: Islam tidak mengajar umatnya menipu dan mengkhianati orang lain. Dua sifat ini adalah ciri orang munafik.

Layanan VIP

Pelanggan adalah antara yang utama dalam perniagaan.

Dengan kewujudan pelanggan, kita dapat membuat jualan sama ada jualan barang mahupun perkhidmatan.

Peniaga mesti memiliki ilmu menjual dan ilmu memasarkan.

Ilmu memikat pelanggan juga satu yang wajib dimiliki.

Pelanggan akan 'sangkut' jika ada kepercayaan dan nilai tambah.

Juga jika murah.

Juga ketika pelanggan rasa dilayan seperti VIP.

Rasa dihormati, diutamakan, dianggap berduit dan dimudahkan segala urusan.

Itulah perasaan kita sewaktu kita menjadi pelanggan di tempat lain. Bank, restoran dan sebagainya.

Sekiranya pelanggan betul-betul rasa dihargai, insya-Allah selepas ini dia tidak akan teragak-agak untuk menjadi pelanggan kita untuk kali kedua dan seterusnya.

Sekiranya pelanggan rasa sebaliknya, logiknya dia tidak akan mencari kita lagi.

Kesimpulannya, fahamilah apa yang dikehendaki oleh pelanggan apabila berurus niaga dengan kita.

Untuk tempahan kereta sewa, hubungi saya (Firdaus) di talian 011-11444212.

ATAU

Terus isi borang tempahan di:
www.carrentalampang.com/bookingform

Saturday, January 21, 2017

Ikut prosedur

BAGI memantapkan sistem perniagaan, kita sentiasa memperbaiki dari satu masa ke satu masa.

Terdapat prosedur kerja (SOP) yang kita gariskan dan ia seharusnya dipatuhi.

Kadang-kadang, ada keadaan yang menyebabkan kita lebih cenderung untuk melanggar SOP yang kita sendiri tetapkan.

Ada juga orang yang telah berjaya mencadangkan supaya 'break the rules' dalam maksud, dalam sesetengah keadaan, tak perlu nak ikut sangat peraturan.

Kita dapat faham bahawa ia boleh dilakukan dengan syarat dalam keadaan terkawal dan tidak memberikan ancaman kepada perniagaan.

Mengikut pengalaman saya setakat ini, ada ketika saya melanggar peraturan dan prosedur dalam keadaan sedar akan masalah yang bakal berlaku dan saya sedia menanggung risiko.

Setakat ini Alhamdulillah tiada perkara besar berlaku.

Dalam sesetengah keadaan pula, saya terpaksa menuruti prosedur kerana saya tidak berasa yakin akan selamat jika saya melanggar prosedur.

Biasanya kita sengaja langgar prosedur kerana kita mahu mendapatkan pelanggan.

Contohnya, saya menetapkan peraturan bahawa saya tidak akan memberi sewa kenderaan kepada pelajar universiti atas alasan mereka tidak akan mampu membayar amaun besar jika berlaku sesuatu masalah.

Tapi dalam sesetengah keadaan, saya ambil juga pelanggan di kalangan pelajar. Itupun selepas saya teliti betul-betul gaya pelajar itu, meyakinkan atau tidak.

Saya dapat 'membaca' sikap dan keperibadian seseorang melalui cara komunikasi, bahasa yang digunakan, cara berfikir dan lain-lain yang dapat dilihat secara luaran.

Kita boleh tahu seseorang itu meyakinkan, matang atau kebudak-budakan.

Dari situ kita akan membuat keputusan sama ada mahu meneruskan urus niaga atau tidak.

Pesanan saya, kadang-kadang kita boleh langgar peraturan yang kita cipta sendiri, tapi dengan syarat yang ketat dan sanggup menerima risiko yang ada.

Sekian terima kasih.

Jika anda mahu menyewa kereta, hubungi saya di talian 011-11444212

ATAU terus mengisi borang tempahan online di www.carrentalampang.com/bookingform

Wednesday, January 18, 2017

Rajin Berusaha

Baru-baru ini, saya menaiki Uber ke satu tempat.

Pemandunya adalah seorang lelaki Cina yang sudah berumur.

Dia adalah seorang pembuat studio untuk penggambaran.

Banyak projek dia dapat sebelum ini.

Tapi dia terpaksa mengisi masa lapang dengan memandu Uber kerana projek membuat studio makin berkurangan.

Saya sempat bertanya dia, apakah rahsia kejayaan orang Cina berniaga?

Dia jawab ada dua perkara.

Pertama, kena rajin.

Kedua, kena ramai kawan.

Saya akui rajin adalah satu kunci kejayaan.

Orang malas tidak akan pernah berjaya dan tidak akan mendapat peluang untuk berjaya.

Ada seorang pelanggan saya dari Lahad Datu, Sabah.

Kerjanya membuat penyelenggaraan di kilang-kilang Felda seluruh Malaysia.

Dia menyewa kereta saya kerana keretanya rosak.

Dia mahu segera ke KLIA untuk mengambil 7 pekerja baru yang baru tiba dari Lahad Datu.

Dia kata, dia terpaksa ambil orang Sabah sebagai pekerja kerana orang Melayu Semenanjung bekerja ikut masa.

Pukul 9 pagi sampai pukul 5 petang. Itu sahaja. Selepas pukul 5 petang, mereka balik.

Berbeza dengan orang Sabah. Selain tahan lasak, mereka juga bekerja mengikut kerja.

Mereka takkan berhenti selagi belum siap.

Kalau dapat kerja yang perlu disiapkan dalam tempoh 10 hari, mereka akan bekerja keras siang dan malam untuk siapkan dalam tempoh 6 hari. Baki 4 hari mereka akan berehat.

Itu cara kerja mereka, kata pelanggan saya.

Apa perkara utama yang ingin saya sampaikan di sini ialah kerajinan kunci kejayaan.

Perkara kedua yang diceritakan oleh pemandu Uber tadi ialah ramai kenalan.

Cara untuk ramai kenalan ialah belanja makan.

Dia kata, orang Cina suka belanja orang lain makan.

Untuk dapat sesuatu projek di jabatan kerajaan, peniaga Cina akan cuba untuk kenal semua kakitangan jabatan, dari atas sampai bawah.

Cara mudah untuk kenal semua ialah dengan belanja makan.

Dia kata, mungkin undang-undang (atau orang Islam) anggap tindakan itu sebagai memberi rasuah.

Tapi bagi orang Cina, itu biasa saja sebab nak kenal semua orang.

Apabila sudah kenal, senang dapat projek.

Bagi saya, dua tips ini (rajin dan kenal ramai orang) memang tips yang terbaik.

Sebagai usahawan, kita kena rajin dan buka ruang lingkup kenalan kita.

Tapi janganlah cuba-cuba memberi rasuah.

Sekian, terima kasih.

Untuk tempahan kereta sewa, hubungi saya terus di talian 011-11444212.

Atau layari www.carrentalampang.com