Sunday, May 10, 2020

JAGA MASA TUAN-TUAN (Kepentingan Menepati Masa Bagi Peniaga)

PERNAH beberapa kali, saya membatalkan tempahan pelanggan yang tidak muncul-muncul pada waktu serahan kereta. Berjanji pada waktu sekian sekian. Kemudian tidak muncul-muncul. Apabila dihubungi, tidak menjawab dengan baik, tak beritahu berapa minit lagi yang diperlukan.

Akhirnya saya meminta maaf dan membatalkan tempahannya kerana tidak tahan dengan sikapnya itu. Bayangkan jika hendak ambil kereta pun berlengah, bagaimana pula ketika memulangkan kereta nanti? Saya tak mahu menunggu orang kerana penantian itu penyeksaan!

Menepati masa adalah satu sikap dan akhlak yang disukai semua orang. Kita sendiri akan berpuas hati dengan diri sendiri. Apatah lagi orang lain yang berurusan dengan kita. Semuanya berjalan lancar seperti yang dirancang.

Memang mudah berjanji pada waktu sekian sekian tapi tak semua orang boleh menepatinya. Kenapa? Bagi saya, ini adalah soal sikap yang perlu dididik sejak kecil.

Kemahiran pengurusan masa adalah kemahiran yang wajib dipelajari oleh semua orang, lebih-lebih lagi para peniaga. Membuat to-do list, not-to-do list, meletakkan keutamaan (priority), konsep podomoro, merancang jadual harian dan mingguan serta pelbagai lagi kemahiran yang boleh dipelajari untuk menjadikan kita seorang yang amat menitikberatkan soal masa.

Saya bukan nak ajar cara urus masa. Saya cuma nak sampaikan bahawa sikap menepati masa adalah penting dalam bisnes kita.

Hakikatnya, bukan setiap waktu kita boleh tepati masa, kerana kita juga manusia. Tidak sempurna. Namun, jika kita pandai berkomunikasi dengan baik dengan memaklumkan kelewatan lebih awal, memohon maaf atas kelewatan, berikan alasan munasabah, memberikan bukti kenapa lewat, pihak satu lagi tentu mudah untuk berlapang dada dan tidak jadi untuk marah.

Apa yang lebih penting ialah kita berfikir masak-masak sebelum berjanji itu dan ini, dan kita berusaha bersungguh-sungguh untuk menepatinya. Sikap bertangguh adalah sikap buruk yang wajib dinyahkan daripada kamus hidup kita.

Firdaus

Thursday, May 7, 2020

Kepentingan Bermulut Manis Bagi Peniaga


SETIAP hari, kita akan berbincang dan menjawab soalan-soalan daripada pelanggan. Di sinilah kemahiran komunikasi kita akan diuji. Bermula dengan mimik muka, intonasi suara, pakaian, penggunaan bahasa, isi ucapan yang meyakinkan, semuanya memberikan kesan sama ada positif atau negatif.

Sudah tentu kita mahukan keputusan berpihak kepada kita. Ertinya, kemahiran komunikasi kita dianggap berkesan jika kita berjaya mempengaruhi keputusan pelanggan.

Salah satu cara komunikasi berkesan ialah bermulut manis. Bermulut manis bukan bermaksud meletakkan gulu-gula di mulut. Bukan juga seperti yang dikatakan oleh pepatah Melayu ‘menanam tebu di hujung bibir’.

Apa yang dimaksudkan di sini ialah seseorang peniaga itu perlu menjaga tutur bahasanya apabila berkomunikasi dengan pelanggan. Kita bercakap perihal yang baik-baik saja mengenai produk atau servis kita. Kita juga memujuk pelanggan agar tidak risau dengan risiko-risiko yang akan ada kerana kita telah menyediakan pelan kecemasan sekian sekian.

Ia bukan bermaksud kita menipu. Penipuan adalah diharamkan menurut Islam. Adakah kita mahu memakan duit yang berpunca daripada penipuan? Sudah tentu tidak, bukan.

Bermulut manis juga bermaksud kita tidak menyebut perkara-perkara yang tidak elok didengar oleh pelanggan. Contohnya, apabila penjual nasi lemak berbicara dengan pembelinya, sudah tentu tidak elok jika penjual itu berkata begini, “nasi ini perlu dimakan segera kerana bimbang akan basi tidak lama lagi.”

Semua orang sedia maklum, nasi lemak adalah sejenis makanan yang tidak akan bertahan lama. Ia perlu segera dimakan. Jika dibeli waktu pagi, dikhuatiri sebelum waktu Asar ia sudah basi. Ini semua orang sudah maklum. Jadi, mengapa penjual nasi lemak perlu bercakap demikian? Boleh jadi pembeli tak jadi membeli jika mendengar kata-kata tersebut.

Saya pernah melakukan rundingan dengan rakan saya yang menawarkan perkhidmatan membersihkan pendingin hawa (servis aircond). Saya bertanya berapa harga untuk satu unit. Rakan menjawab harga sekian sekian. Katanya, harga yang dia tawarkan agak murah berbanding kualiti servis yang diberikan berdasarkan kursus yang dia pernah hadiri.

Kemudian dia bercerita lagi, dia akan menggunakan bahan kimia sekian sekian, tetapi dia minta saya untuk mengemaskan apa-apa perabot di sekitar aircond. Alihkan supaya tidak terkena bahan kimia dan aircond. Juga dia berpesan hati-hati agar cat dinding tidak tertanggal disebabkan servis yang akan dibuat.

Perasan tak? Mula-mula, rakan saya ini bercerita mengenai kelebihan dan kekuatan yang ada padanya. Harga murah. Ada sijil kursus anjuran syarikat pengeluar aircond sekian sekian. Ini meyakinkan pelanggan seperti saya. Akan tetapi, selepas itu dia bercerita perkara yang saya selaku pelanggan tidak mahu mendengarnya. Betul, saya rasa tidak selesa dan rasa susahnya nak servis aircond, kena buat itu ini, ada risiko itu ini.

Apa yang rakan saya sampaikan itu betul tetapi di peringkat awal, ia tidak perlu diceritakan. Semua orang sedia maklum risiko-risiko yang ada. Faham-faham sajalah, jika servis aircond, mesti melibatkan air, bahan kimia dan lain-lain. Perabot-perabot, sudah tentu mesti dialihkan bagi mengelakkan terkotor atau basah.

Saya faham apa yang dimaksudkan kawan saya itu. Dia mahu bersikap telus dengan pelanggan. Dia tidak mahu pelanggan tertipu dengan janji bulan dan bintang. Tetapi dalam sesetengah keadaan, risiko-risiko itu boleh disampaikan dengan cara lain yang lebih baik dan pada waktu yang sesuai. Bergantung kepada keadaan.

Mana ada penjual hartanah berkata kepada bakal pembeli unitnya, “cantik rumah ini, tapi itulah hakikat semua benda di dunia, tiada satu pun yang kekal. Yang kekal hanya Allah. Bila-bila masa saja rumah ini boleh runtuh.” Mungkin contoh ini terlalu teruk, tapi itulah yang saya maksudkan dengan memilih perkataan terbaik untuk menjual. Bermulut manislah dengan pelanggan.

Ingat, pelanggan mahu dengar yang baik-baik sahaja sebagai menyokong keputusannya untuk membeli. Jika tersalah sebut, boleh jadi, dia akan batalkan pembeliannya dan kita akan terlepas satu peluang keemasan.

Akhir kata, ilmu komunikasi ini terlalu luas untuk dipelajari. Belajarlah kerana ilmu tidak pernah merugikan.

Sekian, terima kasih. Kongsikan jika anda rasa ia ada manfaat.

Firdaus

Tuesday, May 5, 2020

Bisnes Bantu Orang

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Bertemu kembali di blog ini. Saya berhajat nak berkongsi sedikit berkenaan impian saya ketika mula bisnes.

Antara nasihat yang saya terima daripada jurulatih-jurulatih keusahawanan ialah niatkan bisnes yang kita buat itu akan dapat membantu ramai orang.

Selain menawarkan manfaat melalui barang dan perkhidmatan, kita juga boleh bantu orang lain dengan memberikan nasihat dan panduan. Sebab itu saya menulis di blog ini.

Kita juga boleh membantu dengan meringankan beban orang lain dari sudut kewangan. Bayar zakat, sedekah, bayar gaji kakitangan, semua ini termasuk dalam 'bantu orang'.

Apabila kita dapat membantu orang, kita akan gembira. Gembira bantu orang tidak sama dengan gembira dapat duit untuk diri kita sendiri. Apabila duit jualan masuk, memanglah kita akan gembira. Tapi kalau kita sertakan niat nak bantu orang lain dengan duit itu, kita akan rasa bertambah gembira. Percayalah.

Kata nasihat lain yang saya pegang juga ialah tak akan rugi orang yang bersedekah. Jangan tunggu kaya baru nak memberi. Berilah walaupun sedikit.

Saya sendiri berfikiran sebelum memulakan bisnes dahulu, saya cakap pada diri, saya perlu buat bisnes untuk tambah pendapatan. Untuk bayar itu ini, kerana gaji saya ketika itu memang tak cukup untuk tampung semua perkara. Saya perlukan duit. Saya mesti lakukan sesuatu. Akhirnya saya berniaga dan saya gembira dapat duit.

Akan tetapi, lama kelamaan, saya dinasihatkan juga untuk membantu orang lain dengan duit kita itu. Dalam 10 ringgit yang kita dapat, kita asingkan 1 ringgit untuk tabung masjid, contohnya. Kita masih ada 9 ringgit dan kita tetap gembira juga. Bahkan kita sudah sedekah 1 ringgit untuk masjid, ini membuatkan kita lebih gembira.

Kemudian, kita akan berfikir bahawa, kalau aku untung 1,000 ringgit, aku boleh sedekah 100 ringgit untuk masjid. Begitulah seterusnya.

Dengan niat memberi dan membantu orang, secara tidak langsung, kita akan termotivasi untuk bantu lebih ramai orang dengan lebih banyak RM nya.

Jadi, nampak tak apa yang saya nak sampaikan sekarang? Ya, tambahkan niat bantu orang dalam niat kita dan tujuan kita berniaga. Insya-Allah kita akan nampak jalannya.

Sekian, terima kasih. Kongsikan jika bermanfaat.

Mohd Firdaus Salleh Hudin
AskFirdaus.com
CarRentalAmpang.com



Thursday, December 12, 2019

Sewakan kereta emak - Honda Jazz

Nak dijadikan cerita, emak saya pergi ke Madinah selama satu bulan baru-baru ini.
Dia minta saya uruskan kereta Honda Jazz nya untuk dibuat sewa.

Maka saya pun ambil. Kebetulan ada kenalan rapat nak sewa. Jadi kurang sikit risikonya.

Harga pun bagi harga kawan-kawan, asal boleh jalan daripada terperap di parking kan.

Jadi, balik dari Madinah nanti, adalah sikit duit saya boleh bagi emak saya.

Sekian, terima kasih.

Itu sahaja perkongsian di blog ini yang telah lama ditinggalkan. Hihi.

En Affuan ni senior sekolah dulu. :)

Sunday, July 7, 2019

Usah hangat tahi ayam

Dah lama saya tak update blog ini.

Saya memang nak menulis walaupun sedikit.

Perkongsian perlu dilakukan untuk manfaat orang lain.

Apabila kita memberi manfaat kepada orang, kita akan beroleh pahala.

Kita tak nampak pahala, tapi kita kena yakin dengan wujudnya pahala.

Kalau kita tak boleh beri manfaat kepada orang lain walaupun sedikit, malanglah hidup kita.

Saya percaya, semua orang boleh berikan manfaat kepada orang lain. Percayalah.

Sekarang, saya ingin rajin menulis dan membuat perkongsian.

Saya tidak mahu hangat-hangat tahi ayam.

Ini yang saya mahu sejak dahulu, tapi ada ketika saya malas dan tidak menulis.

Doakan saya terus menulis. Tak banyak, sikit pun boleh, asalkan menulis.

Firdaus
carrentalampang.com

Saturday, August 25, 2018

18 Ogos 2018

Pantas masa berlalu.
Saya dah pun keluar daripada GM.

Kini bisnes masih diteruskan seperti biasa.
Akan terus belajar dan bekerja mencapai cita-cita.

Ya cita-cita tidak pernah putus dan terhenti.
Akan sentiasa diupgrade.

Insya-Allah yakin boleh.
Syukur atas segalanya.

Berazam akan menulis lebih kerap.
Lebih rajin menulis.

Firdaus
Hulu Langat

TIP DAPAT HARGA TERBAIK


Antara tip dalam rundingan untuk mendapatkan harga terbaik ialah WIN-WIN SITUATION.

Bincang elok-elok, fikirkan jika kita berada di pihak satu lagi sama ada pelanggan atau peniaga.

Pelanggan mesti cuba penuhi apa yang menjadi concern peniaga seperti maklumat peribadi dan lain-lain.

Peniaga pula cuba penuhi keperluan pelanggan seperti kereta terbaik, bersih dan tepati masa.

Setakat ini dahulu perkongsian saya, hubungi 011-11444212 untuk tempahan kereta sewa segera. Kita nego kasi jalan.